Kisahayah&anak

Perhubungan kasih sayang di antara ayah dan anak perempuan adalah unik dan jarang diangkat. Bagi seorang anak perempuan, ayah ialah cinta pertama yang hadir dalam hidup untuk menjaga dan melindungi mereka. Bagi seorang ayah, anak perempuan adalah puteri kesayangannya sehingga bila-bila.

Oleh yang demikian, ia telah memberikan ilham buat syarikat produksi Nads Media Entertainment untuk menghasilkan sebuah filem berjudul BABAH.

Idea untuk menghasilkan filem ini bermula setelah Nadia Nadzri selaku idea asal dan penerbit melihat sebuah klip video viral tentang seorang ayah membuat persembahan di majlis perkahwinan anak perempuannya. Emosi seorang ayah yang menjaga anak perempuannya dari kecil dan kemudian melepaskan tanggungjawab kepada lelaki lain adalah amat dalam.

Selain itu, kami juga menggabungkan dengan sebuah lagi klip video tentang seorang perempuan yang bertarung nyawa menghidap Sindrom Gullain-Barre. Sejenis gangguan auto imun yang boleh melumpuhkan sistem saraf. Ianya bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

“Jadi, ia memberikan idea kepada kami untuk menghasilkan sebuah filem dengan gabungan video-video viral itu dan diolah menjadi sebuah jalan cerita yang menarik dan cukup dekat dengan kehidupan masyarakat,” ujarnya.

Babah adalah kisah mengenai pengorbanan seorang ayah, Isyak untuk anak perempuannya, Maya. Tiada mana-mana lelaki yang dapat mengambil tempat seorang ayah. Isyaklah lelaki pertama yang hadir dalam hidup Maya - dialah hero yang sentiasa melindungi dan menjaga Maya. Dan apabila dewasa Maya diuji musibat teruk, Isyaklah yang menjadi tempat dia bergantung harap.

Mengenai pemilihan pelakon pula, pengarah berkenaan memberitahu mereka telah membuat sesi uji bakat dan bersyukur kerana berjaya memilih pelakon-pelakon yang dapat melakonkan watak masing-masing dengan cukup berkesan.

Sementara itu, Mohd Shah juga tidak menafikan penghasilan filem ini turut berdepan dengan cabaran yang tersendiri.

“Filem berlatarbelakang tahun-tahun yang berbeza iaitu mulai tahun 1990 sehingga 2020, jadi kami perlu pastikan babak dipaparkan perlu sama dengan tahun berkenaan dan itu memerlukan penyediaan props yang tepat dan bersesuaian.

Filem Babah adalah mengisahkan harapan yang didambakan. Ketika menghadapi ujian getir yang merupakan sebahagian daripada kehidupan. Seorang ayah perlu berusaha selagi berdaya dan berharap untuk merasa sisa kebahagiaan bersama anaknya sehingga ke penghujung nyawa.

Ia menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat tanah air seperti Qi Razali, Cristina Suzanne, Sweet Qismina dan Adam Lee.

Dalam pada itu, Wan Rafiq selaku penulis skrip berkata, filem berkenaan juga cukup istimewa kerana ia sangat dekat dengan penonton yang akan menimbulkan rasa penuh emosi.

“Kita sudah banyak disajikan filem tentang rasa sedih. Berlainan dengan Babah, nashkah ingin mengetengahkan rasa rindu. Rindu adalah perasaan lebih besar dan mendalam yang dialami oleh semua orang. Ianya adalah emosi yang bercampur di antara gembira, sedih dan sayu yang datang hanya dari momen sendiri. Dalam filem Babah, saya percaya penonton akan dapat mengimbau semula kenangan mereka.

“Untuk seorang ayah, diharap dapat mengimbau semula perjalanan mereka dalam membesarkan anak perempuan sehingga masa untuk melepaskan mereka ke tangan suami. Untuk seorang anak perempuan, adalah untuk mengingatkan tentang pengorbanan seorang ayah yang tidak pernah mengeluh dalam membesarkan mereka,” ujarnya.

Bagi pengarah Babah, Mohd Shah Faizul Ibrahim pula, dia tertarik untuk mengarahkan filem berkenaan setelah membaca skrip yang diberikan kepadanya.

Mohd Shah berkata, apa yang membuatkan filem berkenaan menarik apabila kelainan dari segi penyampaiannya.

“Saya merasakan yang jalan ceritanya sangat dekat dengan diri saya. Lepas membaca skrip, saya terus beri kata putus kepada penerbit yang saya ingin mengarahkan Babah.

“Penulis skrip juga adalah penerbit kepada filem ini dan saya merasakan penulisannya sangat peribadi dan itu membuatkan saya yakin ia adalah sebuah naskhah yang baik,” ujarnya.

“Selain itu, ada cabaran kepada pelakon untuk berlakon dan menyampaikan dialog kerana filem ini lebih kepada konsep cinema ‘verite’ iaitu penceritaan yang santai dan bersahaja untuk mendapatkan mood yang realistik,” ujarnya.

Menurutnya, sebagai seorang pengarah, dia berharap agar penonton dapat menerima cerita ini dan dapat merasai apa yang ingin disampaikan.

“Kita jarang disajikan dengan filem yang sebegini, maka saya rasa filem Babah memberi peluang kepada penonton untuk menonton sebuah naskhah yang selain memberikan hiburan, turut menyentuh emosi dan perasaan,” jelasnya.

Filem Babah akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 5 Disember 2024.